Hari ini dah 28 Ramadhan 1431, dah 28 hari umat Islam berpuasa, besok pula tarikh melihat anak bulan, cepat sungguh masa berlalu. terasa ramadhan baru saja disambut, kini dah tiba di penghujungnya. Alangkah bahagia buat mereka yang sentiasa menjaga amalannya di bulan Ramadhan Al-Mubarak semoga bulan tersebut memberikan sepenuh keberkatan buat kita semua insyaAllah...
Ramadhan selamanya akan meninggalkan kesan yang mendalam bagi diriku dan seluruh ahli keluargaku, kerana di bulan penuh keberkatan itulah ayahanda kesayangan kami sekeluarga dan kekanda sulungku pergi menemui Ilahi, pergi yang tidak kembali lagi....
Ramadhan 1429 bersamaan 2008 meninggalkan kesan yang mendalam buat kami kerana pada 11 Ramadhan tersebut kekanda sulung yang kami kasihi telah pergi menemui Ilahi, terasa sayu tidak terhingga mengenangkan 3 orang anaknya yang masih menuntut dan masih memerlukan perhatian daripada ayah mereka, pun begitu kami semua redha akan pemergiannya mengenangkan bulan kerahmatan itu mungkin pemergiannya akan mendapat keistimewaan disisi Yang Maha Esa hendakNya...Wallahuaklam...kini tinggallah isterinya menyambung tugas memastikan anak-anak mendapat pendidikan yang sepatut dan sewajarnya.
Dikala aku dan keluarga telah reda dengan kesedihan pemergian kekanda itu, segala rencana untuk perayaan yang bakal di sambut oleh semua umat Islam itu belum sempat di atur, sekali lagi kami diuji oleh Allah Taala, pada tanggal 22 Ramadhan 1429, ayahanda yang kami kasihi pula dijemput mengadap Ilahi, Ya Allah.... kami semua redha dengan ujian yang engkau beri kepada kami sekeluarga, kerana bagi kami apa yang kami semua harapkan adalah rahmat dan kasih sayangMu Ya Allah, semoga pemergian mereka di bulan mulia yang dipenuhi keberkatan ini akan memberi kebaikan kepada kedua-dua Allahyarham, semoga roh mereka ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.
Syawal kali ini merupakan Syawal ketiga disambut tanpa mereka berdua, jika dulunya kepulangan Kekandalah yang paling dinanti kerana beliaulah yang tinggal paling jauh di selatan tanahair, kini tiada lagi penantian, apa yang kami lakukan hanyalah menziarahi pusara mereka berdua, hanya doa dapat kami kirimkan untuk mereka disana, semoga mereka mendapat yang terbaik disisiNya...Amin
Kini kami masih meneruskan tradisi keluarga bilamana Syawal tiba, semua ahli keluarga akan berkumpul, memasak bersama di hari sebelum raya untuk juadah hari raya. Pada pagi hari raya pula selepas sembahyang sunat AidilFitri semua akan menuju ke tanah perkuburan, menziarahi pusara orang-orang yang dikasihi. Seterusnya ke rumah sanak saudara, jiran tetangga bagi menziarahi antara satu sama lain mengeratkan tali silaturrahim. Raya pada kali ini sebenarnya memberikan keinsafan buat diriku kerana ramai insan yang tahun lalu beraya bersama kini tiada lagi, begitulah seterusnya, semoga raya yang disambut memberikan keinsafan dan keberkatan buat kita semua....
Sempena hari baik di bulan yang mulia, yang bakal kita semua sambut nanti saya dan keluarga mengambil kesempatan memohon ampun dan maaf andaikata ada salah silap, dari segi perbuatan mahupun tuturkata, jua apa juga rasa tidak puas di hati pohon diampuni, dari hujung rambut hingga ke hujung kaki, semoga kita semua suci hati suci diri.
SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, Maaf Zahir & Batin dari saya dan keluarga
Telukemas.blogspot.com.
0 comments:
Catat Ulasan